Aku, Kebun dan Lalang

Posted on December 16, 2011

0


Ini bukan kali pertama aku ke kebun,
Mencabut lalang dan membersihkan semak samun,
Selalunya seminggu sekali, kalau malas kadang kala sebulan sekali,
Ya, lalang dan semak memang cepat membesar dan merebak.

“Hah, kamu lagi Aqim, tak jemu ke kamu buat kerja ni, setiap minggu kamu datang ke mari”

Itu lah kata-kata Pak Fuad setiap aku kemari, ke kebun yang aku miliki sejak aku kenali dunia.

Memang pun jemu, bosan mengerjakan rutin ini. Tapi takut pula aku meninggalkannya, nanti makin tinggi si lalang dan makin tebal si semak samun.

Dulu waktu daun lalang masih kecil, aku malas nak mempedulikan, bagi aku yang penting pokok-pokok di kebunku, buah kegemaran iaitu mangga dan jambu batu. Semakin hari semakin tinggi pula daun lalang, pokok-pokok pula masih lagi keanakan. Sehingga lah tingginya mula setanding pokok-pokok ku.

Dulu waktu mula-mula aku mula mahu menanam, Pak Alim selalu ingatkan supaya bersihkan kebun, pastikan tiada rerumput perosak, apatah lagi lalang yang mudah tumbuh dan membiak. Memang betul kata dia. Tapi biasalah, waktu itu aku baru sahaja ada minat menanam setelah melihat kehebatan kebun si Ajib yang besar penuh dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan. Terus aku ambil benih dari si Ajib, aku tanamnya sebelum sempat mengambil peringatan Pak Alim.

Hah, sekarang ini lah kerja aku lantaran melupakan pesanan Pak Alim, setiap minggu ke kebun menebas lalang dan membersihkan semak-samun yang mula menenggelamkan anak-anak pokok.

Pak Fuad pula memiliki kebun di sebelah ku. Kebunnya besar sekali…sangat besar. Tapi penuh sahaja dengan lalang. Orang kata dia memang menanam lalang. Ada orang lain kata dia memang berniaga lalang. Tapi menurut satu kisah, Pak Fuad dulu asalnya pernah mengusahakan tanaman buah naga, tetapi malangnya dia tidak pernah menebas lalang sehingga habis lalang bermaharaja lela. Entahlah, aku pun tak tahu mana satu kisah yang benar.

Lalang ni memang spesis rumput yang sangat cepat membesar, merebak mengikut angin ke mana sahaja ia membawa benih-benihnya di udara. Apabila ia merebak habis tumbuhan di sekelilingnya, ia menjadi pesaing hebat terutama untuk anak pokok. Itu lah nasib pokok mangga dan jambu batu yang aku ambil benihnya dari sumber yang paling bermutu, iaitu dari kebun Ajib yang terbukti keberhasilannya.

Kerja aku mingguan adalah menebas lalang. Ada orang cadangkan aku mencabutnya dari akar-akarnya, tapi lalang dah terlalu berleluasa, tak mungkin aku mampu mebuatnya. Aku pun hanya datang seminggu sekali, kadang kala sebulan sekali, itu pun kalau lah aku teringat. Kalau lah aku mencabutnya waktu lalang itu masih kecil, kan lebih mudah, akarnya mungkin masih kecil dan bilangannya masih sedikit.

Semak samun pula kerja ku setiap dua minggu. Huh, aku jenis penakut sedikit. Takut kalau ada ular atau kala jengking atau lipan yang mula menghuni semak yang tebal itu. Memang makin tebal semaknya, semakin sesuailah ia menjadi habitat fauna semulajadi itu. Kalau lah aku membersihkannya waktu semak masih rendah, kan lebih selamat.

“Kamu racun sahaja, biar semuanya mati, atau, kamu buat sahaja Pak Fuad, biar semua tumbuh, apa salahnya, lalang pun cantik juga”

Itu satu lagi kata Pak Fuad setiap kali kerjakan semak samun itu. Entah apa motif dia, mahu aku jadi seperti dia. Mungkin sahaja sebab dek benih-benih lalang dia lah, kebun aku jadi seperti ini.

Tapi takut pula aku meninggalkannya, nanti makin tinggi si lalang dan makin tebal si semak samun.

Aku mahu menikmati mangga dan jambu batu hasil usahaku sendiri, sebab itu lah aku mahu pokok-pokok ku membesar. Aku tak mahu lalang perosak dan semak penyibuk menghalang ku dari nikmati hasil kebunku.

Biar aku cabut lalang satu persatu. Biarkan Pak Fuad kerana itu mungkin kerjanya sejak dia kenali dunia.

Memang lalang ada datang lagi.

Tapi aku juga akan datang lagi mencabutnya.

Abu Muhammad
Waterford

Advertisements
Posted in: Idea