Syahadatul Haq part 6

Posted on February 24, 2011

0


PEMBAHAGIAN SYAHADAH

Syahadah Perkataan

Syahadah dalam bentuk perkataan ialah kita menjelaskan kepada seluruh manusia tentang kebenaran yang telah disampaikan kepada kita melalui perantaraan para nabi dan para rasul. Kita jelaskan kepada mereka menggunakan lisan dan pena atau apa sahaja cara dakwah dan sebaran menggunakan media cetak atau radio atau apa sahaja ciptaan manusia di kurun ke dua puluh ini yang boleh kita manfaatkan.

Syahadah Perbuatan

Syahadah dalam bentuk perbuatan pula bermaksud kehidupan seharian kita mestilah menjadi cermin yang membiaskan dasar dan prinsip yang kita yakini dan kita laungkan

Pembuktian dengan amalan dan tingkah laku akan lebih memberi kesan daripada penghujahan dengan kata-kata seperti yang dibukti dalam sejarah dakwah Rasulullah yang memperlihatkan peningkatan ummat Islam yang mendadak setelah Islam dapat dipraktikkan di dalam masyarakat dan negara.

Individu Muslim

Sebenarnya apa yang dapat mempengaruhi dan memikat jiwa manusia ialah apabila mereka melihat dengan mata mereka sendiri kebaikan ajaran agama ini yang sering kita perkatakan dan kita tonjolkan melalui perbuatan kita sepanjang hidup kita.

Mereka dapat melihat sendiri dengan mata mereka contoh-contoh manusia soleh yang dilahir dan dididik oleh agama ini.

Masyarakat Muslim

Mereka dapat melihat sebuah masyarakat yang adil dan melaksanakan segala prinsip agama ini.

Ringkasnya, sesiapa sahaja yang bergaul dengan kita baik individu mahupun masyarakat, sesiapa sahaja yang berurusan dengan kita dalam apa jua sudut akan mendapati setiap tingkah laku dan tindakan kita baik yang lahir daripada individu mahupun daripada masyarakat akan menjadi contoh dan saksi bahawa segala prinsip yang kita laungkan sebagai suatu yang benar dan disokong oleh kitab dan wahyu ini sememangnya benar dalam realiti hidup.

Dengan masyarakat, interaksi dan hubungan antara individu-individu muslim menonjolkan kesefahaman, saling ambil berat, kesaksamaan, amanah dan kehormatan, semua ini dijamin oleh Islam apabila ia dilaksanakannya.

Negara Islam

Namun jangan kita rasakan syahadah dalam bentuk perbuatan ini sudah cukup menandakan kita telah melaksanakan segala tanggungjawab kita dan kita mampu berhadapan dengan Allah di akhirat kelak. Tidak, sebenarnya syahadah ini tidak akan lengkap dan tidak akan terhasil melainkan setelah terbentuknya sebuah negara yang tertegak berlandaskan prinsip yang abadi seperti yang dinyatakan secara jelas oleh agama ini.

Dengan negara, sistem-sistem Islam terlaksana dan memperlihatkan keadilan, kebijaksanaan, kesejahteraan dan keberuntungan yang diberikan Allah kepada manusia sehingga mereka terpikat kepada kebenaran.

Bahkan Negara Islam itu berfungsi langsung sebagai agen pendakwah secara internasional seperti yang dilakukan oleh Rasulullah selepas Perjanjian Hudaibiyyah. Negara Islam adalah negara dakwah.

Seperti peringatan Uthman bin Arthagul, pengasas Turki Uthmaniyyah kepada Arukhan,

“Wahai anakku, engkau seharusnya mengetahui bahawa penyebaran dakwah Islam, membimbing manusia dengan sebenar-benarnya ke arah itu dan melindungi harta kaum muslimin adalah satu amanah di leher kamu yang akan dipersoalkan oleh Allah di hari perhitungan…Wahai anakku, engkau seharusnya mengetahui bahawa satu-satunya jalan kita di dalam kehidupan ini adalah jalan menuju kepada Allah, satu-satunya tujuan kita adalah untuk menyebarkan agama Allah, dengan itu, kita bukanlah mengejar kedudukan dan ganjaran duniawi.”

(Petikan dari buku ‘Sultan Muhammad Al-Fatih’oleh Dr Ali Muhammad Al-Salaabi)

Tamadun Islam / Ustaziatul Alam

Kamu akan perhatikan bagaimana dakwah kamu yang benar ini dan akhlak kamu yang tulus ini akan mula mempengaruhi manusia dan akan mula meresap ke dalam hati dan fikiran manusia yang matang. Seluruh alam akan mengakui sifat amanah, bersih dan luhur yang ada pada kamu. Mereka akan menaruh harapan pada kamu dan mengharapkan kamu melayan mereka dengan adil dan saksama. Mereka akan berkeyakinan dengan kamu dan ketelusan kamu ketika berurusan dengan mereka. Tuan-tuan akan melihat seluruh manusia akan bersandar kepada kata tuan-tuan. Mereka akan merujuk segala perselisihan mereka kepada kata tuan-tuan dan mereka akan bergantung sepenuhnya kepada tuan-tuan. Pada ketika itu, pemimpin yang kufur dan sesat tiada nilai lagi. Segala asas falsafah, politik dan ekonomi mereka akan goyah.

Syahadatul haq perlu diteruskan sehingga terbentuk Tamadun Islam yang akan menundukkan manusia dengan kehebatan keilmuan, teknologi, kebudayaan dan ekonomi yang ada di dalamnya. Dulunya manusia ditundukkan dengan kekuasaan politik dan ketenteraan melalui Negara Islam, kini Islam mula diterima disebabkan ketundukan jiwa dan pemikiran kepada Tamadun Islam.

Ini telah ditunjukkan semasa zaman pemerintahan Abbasiyyah dengan kecemerlangan tamadun berbanding kedudukan ummat manusia lain yang masih tidak bernaung di bawah Islam.

APABILA SEMUA TELAH TERLAKSANA MAKA…

Semua suasana ini dapat dilihat dalam negara ini hingga menyebabkan semua lapisan masyarakat akan bersuara:

“Demi sesungguhnya, agama yang dapat membentuk dan membangunkan sebuah negara seperti ini sudah tentu agama yang pasti akan membawa kebahagiaan kepada seluruh manusia dan membawa penganutnya ke arah kejayaan di dunia dan di akhirat.”

Apabila syahadah seperti ini digabungkan dengan syahadah dalam bentuk perkataan, sudah tentu hujah Allah mengatasi hujah manusia.

Barulah, kemudiannya kita mampu membela diri di hadapan Allah.

Ketika itu kita tidak akan dipersoalkan lagi tentang tanggungjawab yang telah diletakkan di bahu umat Islam. Ketika itu, umat ini boleh bersuara mengikuti jejak Rasulullah s.a.w. di hadapan Allah, Pemilik yang Maha Kuasa, Maha Suci segala namaNya:

“Kami telah sampaikan kepada seluruh penduduk bumi ini apa yang telah disampaikan kepada kami, tanpa mengenal erti penat lelah. Kami tidak bertanggung jawab terhadap mereka yang masih tidak mahu menerima kalimah hak dan enggan mengikut cara hidup sebenar yang diredai oleh Allah. Mereka sebenarnya menzalimi diri sendiri dan mereka menurut jalan yang sesat kerana kezaliman dan keangkuhan mereka sendiri.”

Dan apabila mereka bertemu Allah, tiada lagi yang boleh dijawab melainkan pengakuan.

وَسِيقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَى جَهَنَّمَ زُمَرًا حَتَّى إِذَا جَاءُوهَا فُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَتْلُونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِ رَبِّكُمْ وَيُنْذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا بَلَى وَلَكِنْ حَقَّتْ كَلِمَةُ الْعَذَابِ عَلَى الْكَافِرِينَ

Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka jahannam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu utusan-utusan dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?” mereka menjawab: “Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir.

(Az-Zumar 39 : 71)

Akhirnya kita mampu mengungkapkan penyaksian kepada Allah seperti Rasulullah s.a.w semasa Hajjatul Wada’.

(وانتم تسالون عنى , فما انتم قائلون؟) قالوا : نشهد انك قد بلغت وبلغت واديت ونصحت.

فقال باصبعه السبابة يرفعها الي السماء , و ينكتها الى الناس : (اللهم اشهد) ثلاث مرات

(رواه اليخاري ومسلم)

“Dan kamu akan ditanya tentang aku, maka apa yang kamu akan katakan?” Mereka berkata, “Kami bersaksi kau telah menyampaikan, kau telah menyampaikan, kau telah melaksanakan (tanggung jawab) dan kau telah menasihatkan”. Maka baginda berkata sambil jari telunjuknya menuding ke langit, dan kemudiannya kepada kalian manusia, “Ya Allah, aku bersaksi (sebanyak tiga kali)” (Bukhari dan Muslim)

bersambung…

Abu Muhammad

Waterford

Advertisements
Posted in: Seerah