Syahadatul Haq part 5

Posted on February 24, 2011

0


BAGAIMANA KITA MELAKSANAKAN TANGGUNG JAWAB SYAHADATUL HAQ

Dalam melaksanakan kewajipan ini adalah perlu langkah ini menjadi paksi yang memusatkan seluruh usaha dan seluruh tindak-tanduk kita. Langkah ini perlu menjadi fokus yang mengemblengkan seluruh kekuatan moral, fizikal dan material yang kita miliki. Langkah ini juga perlu menjadi objektif atau matlamat utama kita dalam apa jua kerja dan usaha yang kita lakukan.

Langkah pertama kita dalam melaksanakan tanggung jawab ini adalah menumpukan seluruh kehidupan kita semata-mata ke arah melaksanakan syahadatul haq bagi memastikan tiada peluang hujah manusia menjerumuskan kita ke dalam azab Allah.


Alangkah ruginya manusia sekiranya kehidupan atau perbuatannya tidak disumbangkan kepada perlaksanaan syahadatul haq, seperti sumpah Allah di dalam Surah Al-Asr. Apatah lagi, alangkah malangnya manusia sekiranya tindakannya menyumbang ke arah kekuatan musuh-musuh Islam dan kelemahan ummat Islam, yang hanya akan menentang usaha syahadatul haq ini. Celakalah mereka yang bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, bersama dengan syaitan yang menjauhkan manusia dari risalah (Al-An’am 6 : 112-113) dan melarikan diri dari hidayah semata-mata keinginan dunia (Al-A’raf 7 : 175-179).

وَلا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لا تُنْصَرُونَ

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

(Hud 11 : 113)

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِي آتَيْنَاهُ آيَاتِنَا فَانْسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ

Dan katakanlah kepada mereka, khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) kami. Kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan, maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.

(Al-A’raf 7 : 175)

Pilihannya hanyalah satu iaitu menjadikan kehidupan kita sebagai bukti syahadah kita.

bersambung…

Abu Muhammad

Waterford

Advertisements
Posted in: Aktiviti, Fikrah