Soalan SH: Individu ‘kemudian’ Negara, atau ‘dan’, atau sebaliknya?

Posted on February 24, 2011

0


Salam! Tak boleh ke kalo segolongan orang yang bentuk UA (ustaziatul alam) dan baru kita buat IM (individu muslim)?

Pertama sekali, kita sewajarnya memahami bagaimana perkembangan manusia dalam membentuk sebuah tamadun. Tamadun tidak terbentuk dengan hanya dengan membina sistem dan prasarana fizikal. Tidak boleh kita pisahkan perkembangan tamadun dengan perkembangan manusia itu sendiri. Sejauh mana manusia itu maju atau berkembang, sejauh itulah tamadun itu maju atau berkembang. Ibn Khaldun ada menerangkan perjalanan tamadun manusia dalam buku Muqaddimah.

Tidak logik untuk kita bayangkan sebuah tamadun dapat dibina tanpa adanya manusia yang menampungnya, kerana manusialah yang menjadi bahan binaannya, baik untuk pembinaan tamadun, pembinaan negara atau pembinaan masyarakat.

Apatah lagi, apabila Ustaziatul Alam atau ‘World Order’ yang mahu kita bina ini adalah berasaskan Islam untuk mengajak manusia kepada ubudiyyah lillah. Tidak mungkin ia boleh dibina oleh manusia yang rosak peribadi, keliru identiti dan tidak mengamal Islam kehidupannya.

Tanggung jawab kita adalah membawa manusia untuk ke syurga Allah, bukanlah negara atau tamadun yang akan masuk syurga. Yang saya maksudkan negara dan tamadun di sini adalah dari sudut sistem, prasarana atau khazanah ilmu dan teknologi, semua ini tidak akan dihadapkan kepada Allah di akhirat nanti, tetapi yang akan bertemu Allah adalah manusia itu sendiri.

Usaha kita adalah membentuk manusia yang beriman dan melaksanakan tanggung jawab syahadatul haq. Manusia-manusia itu kemudiannya berinteraksi bersama mereka dan akhirnya, terbentuklah sebuah masyarakat. Masyarakat ini pasti memerlukan sistem yang mengatur urusan hidup mereka baik dalam agama atau adat, semasa itu mereka pun melaksanakan sistem Ilahi  dan juga mengembangkan sistem-sistem lain dalam urusan adat selagi mana tidak bertentangan dengan syara’. Pastinya selepas itu, masyarakat itu perlu kepada kepimpinan dan pemerintahan dalam mengendali sistem-sistem itu. Penonjolan sebuah masyarakat yang baik, sistem yang baik dan diterajui oleh oleh pemimpin yang baik akan menarik perhatian manusia lainnya untuk terpikat dengan kebaikan. Dengan itu individu, masyarakat dan negara telah melaksanakan syahadatul haq.

Perkara ini perlu diperhalusi, tetapi bukan di sini, insyaAllah dalam ruang bicara di masa akan datang nanti.

Secara ringkas, objek dakwah kita adalah manusia pada asasnya, juga manusia dalam masyarakat, juga manusia dalam negara.

Wallahu A’lam

Abu Muhammad

Waterford

Advertisements
Posted in: Seerah