Syahadatul Haq part 2

Posted on February 22, 2011

0


PENGERTIAN SYAHADATUL HAQ



Syahadah adalah penyaksian bukan sekadar lafaz. Penyaksian memerlukan seseorang itu mengakui setelah melihat / mendengar / merasai sesuatu dan meyakini kebenaran sesuatu itu. Kemudiannya, mereka yang telah membuat penyaksian akan bertindak sebagai saksi untuk menyatakan kebenaran sesuatu sehingga daripada apa yang dinyatakan itu mempengaruhi keputusan sesuatu perkara. Saksi dalam perbicaraan merupakan contoh terdekat untuk menerangkan perkara ini.

Kebenaran adalah Islam, apa yang datang daripada Tuhan, seperti kataNya,

وقل الحق من ربكم…

“Dan katakanlah kebenaran itu adalah dari Tuhan kamu” (Al-Kahfi 18 : 29)

Apabila seseorang itu menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, maka dia telah meyakini kebenaran itu dan perlu bertindak sebagai saksi untuk menyatakan kebenaran yang telah diungkapkan.

TANGGUNG JAWAB SYAHADATUL HAQ

Dakwah yang kita tujukan kepada umat Islam ialah mengajak mereka merasai tanggungjawab besar yang diletakkan di bahu mereka apabila mereka mendakwa mereka beriman dengan Allah dan hari akhirat, dan apabila mereka mengaku akur dengan segala perintah Allah dan rasulNya.

Hanya bergantung kepada pengakuan dan cakap kosong dalam hal ini tidak cukup.

Maka TANGGUNG JAWAB INI TIDAK AKAN TERLAKSANA DENGAN HANYA…

  • Menyatakan keimanan kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul dan hari akhirat…
  • Melaksanakan solat, puasa, zakat dan haji…
  • Melaksanakan undang-undang syarak dalam urusan peribadi…

Hak syahadah ini perlu dilaksanakan dengan cara kamu menyampaikan kalimah hak ini ke seluruh bangsa manusia, melalui amalan soleh yang kamu lakukan, melalui akhlak terpuji yang kamu miliki serta melalui pemerintahan kamu yang adil dan betul supaya pada hari di mana segala saksi bangkit menyatakan penyaksian mereka, semua manusia tunduk di bawah hujah Allah dan mereka tidak dapat menafikan bahawa dakwah para nabi dan kalimah hak ini telah sampai ke gegendang telinga mereka.

KAMU ADALAH UMMAT PENGANTARA

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Sepertimana Kami jadikan kamu satu ummat wasato supaya kamu menjadi syuhada’ kepada umat manusia dan Rasulullah pula menjadi syahid ke atas kamu…

(Al-Baqarah 2 : 143 )

Maksud syahadah (شهادة الحق) yang diletakkan ke bahu kamu selepas ketiadaan Nabi Muhammad s.a.w. ini ialah kamu menjelaskan kepada seluruh manusia tentang kebenaran yang nyata ini dan kamu bimbing mereka untuk melalui satu-satunya jalan yang menghubungkan mereka ke arah kebahagiaan di dunia dan akhirat

Kamu paparkan kepada seluruh manusia ialah kamu buktikan bahawa kebenaran yang jelas nyata dan pendekatan yang sahih ini adalah benar dan terbukti kukuh sehingga ia boleh menjadi hujah untuk Allah menghukum hamba-hambaNya.

Pada hari ini tanggungjawab syahadah dipikul pula oleh seluruh umat Islam yang beriman dengan risalah Muhammad s.a.w.. Tanggung jawab ini kini menjadi tanggungjawab mereka semua yang suatu ketika dahulu ia menjadi kewajipan pembawa risalah ini, Nabi Muhammad s.a.w. ketika hayatnya.

Saudara-saudara sudah pasti memahami betapa penting dan besarnya peranan syahadah ini. Segala undang-undang yang Allah gubal dan berkaitan dengan balasan dan hukuman kepada amalan dan kesalahan manusia sebenarnya berlandaskan dan berteraskan kepada syahadah ini

PENGUTUSAN RASUL SEBAGAI PEMUTUS HUJAH MANUSIA

Sudah tentu dengan kebijaksanaan, rahmat dan adilNya, Allah tidak akan menghukum manusia apabila mereka tergelincir daripada landasan hidup sebenar sedangkan mereka tidak pernah mengetahui jalan yang boleh memimpin mereka ke arah kebaikan atau jalan yang menyelamatkan mereka daripada dosa, sedangkan mereka tidak mengetahui jalan sebenar yang dapat mengangkat martabat mereka ke arah insan yang sempurna.

Sebelum azab ditimpakan Allah, Dia akan memberi peluang manusia memilih jalan yang benar atau sebaliknya.

إِنَّا أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ أَنْ أَنْذِرْ قَوْمَكَ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): “Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya”.

(Nuh 71 : 1)

Pemutus Hujah Manusia

رُسُلا مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ لِئَلا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا

Rasul-rasul adalah pembawa khabar gembira dan pembawa amaran, supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah terhadap Allah sesudah pengutusan rasul-rasul itu dan Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

(An-Nisa’ 4 : 165)

Peristiwa-peristiwa Hari Pengadilan

(Al-Qiyamah 75 : 13-15) Setiap manusia perlu mengemukakan bukti-bukti mereka dan tidak boleh berdalih.

(Al-Maarij 70 : 11-14) Mereka yang diazab neraka sentiasa mencari orang lain untuk menggantikan dirinya, sesiapa sahaja di muka bumi.

(Al-Mursalat 77 : 39) Mereka akan datangkan segala tipu daya untuk melepaskan diri.

Semua ini menjelaskan apa yang saya nyatakan tadi bahawa syahadah yang Allah perintahkan ini sebenarnya bertujuan mematahkan segala hujah manusia yang bakal digunakan di hadapan Allah kelak. Agar tiada ruang lagi untuk manusia membuat alasan selepas mereka menerima seruan para nabi.

Tiada ummat yang terlepas dari kedatangan saksi (yang telah menyaksikan kebenaran dan menyampaikan)

وَيَوْمَ نَبْعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيدًا عَلَيْهِمْ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَجِئْنَا بِكَ شَهِيدًا عَلَى هَؤُلاءِ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ

“Dan hari Kami bangkitkan dalam tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari kalangan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.”

(An-Nahl : 89)

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ فَسِيرُوا فِي الأرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”.

(An-Nahl : 36)

bersambung…

Abu Muhammad

Waterford

Advertisements
Posted in: Aktiviti, Fikrah