Aku dan Kau untuk Dia

Posted on April 22, 2008

20


Di Jalan Dakwah…

Alhamdulillah, kita sewajarnya bersyukur kepada Allah, senyum gembira melihat ikhwah juga akhawat kini sudah mula memikirkan hal membina baitul muslim. Mahu menjadi insan yang sempurna, mahu melengkapkan agama. Insyaallah, langkah ini datang daripada niat dan kesungguhan kita mahu menyahut seruan baginda saw dan mahu membuktikan formula kita menuju ke puncak amal…

Cita-cita untuk menjadi Ustaziatul Alam mampu direalisasikan dengan melahirkan unit-unit keluarga dakwah dan seterusnya…

Baitul muslim kini menjadi harapan kita, terpadu usaha amal dakwah dua insan…sinergi dan simbiosis…itu lah yang diharapkan….

Baitul muslim kini menjadi harapan kita, terbina markaz tarbiyyah untuk ummah baru…untuk diri sendiri, saling menasihati…untuk generasi baru, kita akan sediakan tarbiyatul aulad juga banat…kita aset kini, dan mereka nanti potensi masa hadapan…itu lah yang diharapkan…

Seindah mentari muncul pada esok hari, seindah itu juga harapan dan angan-angan kita menanti saat itu…penuh yakin, mentari akan muncul…

Di saat kita mengungkap harapan dan cita-cita ini…mengatur kata-kata indah, mahu kuntum bunga kembang indah…dalam masa yang sama, kita juga perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara…kerana seindah mawar berduri, perlu penjagaan yang rapi oleh si penanam bunga di taman…terapi yang rapi…

Hijrah aku adalah untuk Dia…

Dalam keghairahan membina mahligai keluarga, kita sewajarya tidak teralih daripada kefanitikan kita meraih dan menuju cita-cita agung kita iaitu Allah sebagai matlamat. Kepelbagaian tujuan dan maslahah yang dapat dicapai dengan perkahwinan tidak sepatutnya mengaburi cita-cita agung ini, semata-mata membuktikan cinta kepada Allah Maha Agung, tempat tumpuan kecintaan kita selamanya. Kerana tiada kemanisan cinta ini jika cinta kepadaNya bukan yang pertama…

Ini membuat ana teringat akan kata-kata Ustaz Atif semasa perjalanan pulang dari Pahang, setelah menghadiri majlis perkahwinan Akhi Megat Firdaus dan zaujahnya… (juga sempat singgah di kebun buah dukung…di Jengka, jazakallah kepada Akhi Zul KMB)…kata beliau, “Kalau enta kahwin kerana dakwah, enta pastikan rumah tangga enta tidak rosak sekiranya berlaku permasalahan yang bukan kerana dakwah…kalau sebab lain,…” (ayat yang telah disusun semula).

Insyaallah, Islam pasti sahaja menghalalkan perkahwinan selagimana dalam lingkungan syariat, tetapi Rasulullah saw telah mengingatkan kita agar tidak mengutamakan maslahah dan tujuan sesuatu amalan berbanding matlamat agung kita…

(… فَمَنْ كَانَتْ هـِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ). رواه البخاري ومسلم.

(…Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu). Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Pilih lah Allah dan Rasulullah…kita akan peroleh segalanya…

Pasangan satu hati

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi, semoga merahmati Allah selalu. Di sini, ana ingin mengingatkan diri sendiri dan ikhwah akhawat sekalian untuk berhati-hati dalam membuat pemerhatian dan penilaian, “Siapakah dia?”

Insyaallah, banyak ciri-ciri yang dikupas oleh buku-buku perkahwinan…ana rasakan Asatizah kita lebih layak untuk membicarakan perkara ini…tetapi, dalam kesempatan ini, ana ingin mengetengahkan…

Ikhwah dan akhawat semestinya memilih pasangan yang soleh atau solehah. Mungkin sahaja kita semua memahami apa yang dimaksudkan dengan soleh, insan yang baik pekertinya, sahih ibadahnya dan seterusnya…Semua ini bukanlah semata-mata mahu jadikan pasangan kita sebagai penyejuk mata atau memberikan ketenangan hati. Pastinya doa yang kita ungkapkan,

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah Al-Furqan 25:74)

…meminta kita untuk memilih teman perjuangan yang akan memacukan dakwah…pasangan yang mampu mendokong perjuangan…mampu berpimpin tangan menelurusi jalan perjuangan yang panjang jauh dan memenatkan…kerana kita mahu menjadi pemimpin kepada ummah…

Satu lagi aspek yang perlu dipertimbangkan adalah soal kesefahaman hati dan keserasian perasaan…peristiwa Zainab Al-Jahsy menggambarkan keadaan perasaan manusiawi yang mempengaruhi penilaian dan pilihan kita…

Pasangan yang diidamkan adalah seorang yang memahami hati dan perasaan kita di kala senang atau susah. Mampu memberi ketenangan meredakan kerisauan…

Setelah itu Rasulullah dengan keadaan yang menggeletar pulang ke rumahnya menemui Khadijah ra dan meminta diselimutkan dengan katanya: “Selimutkanlah daku, selimutkanlah daku,” lalu baginda pun diselimutkanlah hingga ketakutan dan kegigilannya itu reda dan hilang. Baginda pun menceritakan peristiwa berkenaan kepada Khadijah ra, “Apakah gerangan yang berlaku ke atas ku itu, ku takutlah apa yang berlaku terhadap diriku ini.” Jawab Khadijah ra, “Tidak sama sekali, demi Allah, sesungguhnya Allah tidak akan menghinakan dikau, kerana dikau sentiasa menghubungkan pertalian silatulrahim, dikau memikul beban kesusahan, menolong yang tidak berada, memberi makan tetamu dan berusaha menyelesaikan rintangan yang menghalang kebenaran.”

(Petikan Raheeq Makhtum)

Indah digambarkan melalui hubungan Rasulullah saw dan Khadijah…saling memahami…Suami yang menjadikan isterinya tempat mencari ketenangan…Isteri yang memahami suaminya…

Slogan kita, “Jemaah satu hati,” tidak mungkin menjadi nyata tanpa ada keluarga satu hati…kerana hati menghubungkan kita…

Dari mata…

Kita mungkin mudah terpesona…kecantikan, jelita wajah, santun perwatakan, indah penampilan…semuanya menambah seri dalam kehidupan kita…Ikhwah dan akhawat juga manusia yang mencari perhiasan hidup…

Terpesona dengan warna-warni perhiasan lantas menyemai benih perasaan cinta…debaran dan kegelisahan timbul apabila bersua…bermula dengan pandangan, renungan dan khayalan…tercetus rasa rindu…dunia baru tercipta…

Sebentar, hentikan dulu sketsa ini…,“Adakah ini dimaksudkan dengan cinta?”

Adakah ini keserasian yang akan melahirkan kebersamaan?…

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi…ingin ana mengingatkan kita semua kepada pesanan Allah kepada setiap daripada kita,

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30)

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ …(31)

“Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan, dan memelihara kehormatan mereka, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.”

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya…”

(Surah An-Nur 24:30-31)

Menjaga pandangan adalah usaha kita menyucikan hati…jauh dari fitnah hati…fitnah yang lebih membahayakan kita…Janganlah kita tertipu dengan jelingan? Jangan pula merancakkannya dengan renungan? Apatah lagi khayalan…

(النظرة سهم من سهام ابليس). رواه الحاكم والطبرانى.

Pandangan itu adalah panahan daripada panahan-panahan Iblis).

Riwayat Al-Hakim dan Al-Tabrani.

Boleh jadi sahaja perasaan yang dirasai adalah semaian daripada keterpesonaan kepada zinah…lantas kita cuba menciptanya agar kelihatan lebih indah…kalaulah ia bermula dengan pandangan maksiat, renungan maksiat dan khayalan maksiat…bagaimana mungkin ia akan berakhir dengan perasaan yang sahih…selain perasaan yang telah dihinggap oleh nafsu amarah dan dorongan al-hawa…Syaitan bin Iblis pula datang menziarahi bersama bisikannya…

Hati-hati dengan pandangan mata agar pandangan hati mampu melihat kebenaran…di situ kita akan temui kemanisan…

Sikap ini bukanlah bermakna merobotkan perasaan kita…seolah-olah tidak punya rasa hati atau emosi kayu cengal yang keras membatu…jauh sekali daripada sangkaan ini…Pastinya kita semua punya atifah, kita mampu beremosi juga…suka, tawa, sedih, sedu…cinta…kasih…semuanya adalah buah-buah perasaan manusiawi…

Hati-hati dengan kecendurangan untuk melayan dan menghangatkan perasaan…jangan ditiup bara, nanti terbakar semuanya…ingatlah tindakan Rasulullah saw kepada Al-Fadl bin Abbas apabila dengan bertentang mata dengan gadis dari Khusya’am…baginda memalingkan wajah Al-Fadl…(Riwayat Al-Bukhari)

Marilah kita sama-sama berfikir dengan hati yang tenang…menumpukan seluruh niat dan dorongan kepada Allah…ikhlas dan jujur kepada diri sendiri…tiada guna menjadi bahan permainan nafsu, al-hawa dan syaitan, kerana gabungan tiga serangkai ini sentiasa mengintai peluang tatkala kita leka, alpa dan mabuk perasaan.

Istighfar selalu…Istikharah menghadapi kekeliruan…

Zikirullah dan solat akan menenangkan hati yang bergelora…

Mereka telah melakukannya, aku pun mahu…

Setiap kali musim cuti sekolah tiba, sibuklah manusia…mengatur kerusi meja, pinggan mangkuk, periuk belanga…kompang dipalun memeriahkan suasana…lembu satu persatu tumbang buat santapan hadirin sekalian…riuh rendah dengan tawa riang rakan-rakan bertemu raja dan pemaisuri sehari…

Hmm…begitulah trend di bumi Malaysia…bagi yang pulang bercuti pada musim panas pula mengambil peluang menjadikannya detik baru untuk pasangan baru…sungguh meriah…

Tiada siapa yang tahu…mungkin di kala itu, terdetik keinginan dan rasa hati di kalangan yang berbelum berkahwin…bujang senang sudah menjadi susah hatinya…takut pula ketinggalan kerana deras sungai telah menolak perahu yang telah berangkat…

Hmm…ana mengingatkan diri sendiri dan juga rakan-rakan untuk memastikan setiap niat dan langkah kita datang dari kesedaran dan perancangan, bukan sekadar ikut-ikutan dan desakan perasaan…

Lihatlah diri sendiri menggunakan cermin kejujuran…nilailah diri sendiri dengan timbangan akal pemikiran…Adakah telah bersedia?

Perancangan dari sudut dakwah…perancangan dari sudut kekeluargaan…perancangan dari sudut kerjaya…semuanya perlu penelitian…pertimbangan…penilaian…

Muhasabah adalah kuncinya…persediaan tarbiyyah, minda, fizikal dan material menjadi kekuatan kita menempuh arus kehidupan nanti…tanpanya…sampan akan hanyut dibawa ombak jahat…

Kita harus menyediakan diri bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk menjadi teman dan pendidik kepada pasangan nanti…anak-anak pula perlu belaian dan asuhan, kerana mereka akan jadi penyambung perjuangan kita nanti…tarbiyyatul-aulad

Oleh itu, disarankan untuk kita semua memulakan niat kita dengan perbincangan…musyawwarah di dalam usrah dengan mengambil pandangan murabbi dan rakan-rakan lain…musyawwarah di dalam keluarga dengan mengambil pengalaman orang tua dan nasihat berharga….kerana syura adalah budaya kita…

… وَشَاوِرْهُمْ فِي الأمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

“…dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu, kemudian apabila engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali Imran 3:159)

…juga refleksi diri…pasti kita akan temui sesuatu…kepastian…

“…Kerana sesungguhnya sangat sedikit rumah yang dibangunkan di atas landasan cinta, tetapi orang-orang berinteraksi dengan Islam dan pelbagai pertimbangan.” (Kata-kata Umar ra)

Aku dan kau untuk Dia

Lihatlah pembinaan keluarga ikhwah dan akhawat sebagai satu langkah untuk membina ummah baru…segala kekuatan sesebuah masyarakah bermula dari unsur-unsur dalam institusi kekeluargaan…dan kita lah bahan binaannya…

Ini bukan sekadar cinta biasa…bukan juga keinginan biasa…atau cita-cita peribadi sepertimana biasa..ini cinta dan keinginan datang dari manusia luar biasa, insan istimewa…hadiah untuk ummah ini…

Namun kita tidak menafikan kemanusiaan kita…punya fitrah, punya rasa…

Namun kita tidak menafikan ketuhanan sumber kita…syariat yang membatasi segala…punya sempadan, punya kuasa…

Pastinya kita mengiyakan bahawa Allah lah matlamat kita…tiada yang pertama selain Dia…

Sekadar berkongsi rasa,

Abu Muhammad

Posted in: Idea, Tazkiyatun Nafs