Di Sini, Dari Hati, Ke Hati

Posted on March 11, 2008

5


Apabila kita bersama…

الأرواح جنود مجندة، فما تعارف منها ائتلف وما تناكر اختلف

“Ruh-ruh umpama tentera di medan peperangan, ia terasa senang dengan sesiapa yang dikenali di kalangannya, dan terasa bertentangan dengan sesiapa yang tidak dikenali”

Mungkin sahaja hadis ini sering diulang-ulang oleh sebahagian manusia, menyeru manusia lainnya untuk bersama merasai kenikmatan kebersamaan dan kekitaan…merasai kenikmatan apabila ruh-ruh dipertemukan di dalam lingkungan keimanan dan kembali kepada fitrah kemanusiaan untuk tunduk kepada Sang Pencipta. Kembali kepada Pencipta…

ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِنْ رُوحِهِ …

“Kemudian ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya…” (As-Sajadah 32: 9)

Kembali melihat hakikat manusia yang datang daripada Allah dengan hembusan ruh yang menghidupkan mereka, kita mulai sedar bahawa kehidupan manusia bukanlah hanya terdiri daripada pergerakan fisik dan kewujudan dalam alam pancaindera…

Kita adalah ruh-ruh yang menggerakkan tubuh, menggerakkan perasaan, menggerakkan minda dan menggerakkan iman…

Satu Hati, Satu Jamaah

Inilah gambaran yang telah diungkapkan oleh Syeikh Ahmad Rasyid…Apabila ruh-ruh telah diikat dengan janji setia, tubuh dan perasaan mulai disatukan di bawah naungan Ilahi. Keimanan mereka kepada kebenaran risalah Rasulullah saw dan keyakinan kepada fikrah Islam yang syumul telah menjadikan mereka ini umpama ruh-ruh yang telah dinyatakan di dalam hadis di atas.

Lantas daripada pancaran keimanan dan keyakinan, ukhuwwah dan kebersamaan terjalin membentuk sebuah jamaah satu hati…ceria melangkah bersama-sama, berpimpin tangan…menyanyikan slogan mereka.

Kesatuan fikrah akan membentuk kesatuan amal…bukan semata-mata sistem dan struktur. Kerana kita bukanlah persatuan biasa…

Kekuatan kita bermula dari Iman, kemudiannya Ukhuwaah dan seterusnya Senjata…

Ingatlah! Ia Bemula dari Sini…

Mungkin kita sering terlupa akan hakikat kemanusiaan yang telah saya nyatakan tadi, oleh itu, harus kita diperingatkan berkali-kali, “Kita adalah jamaah satu hati.”

Kesibukan di dalam pengurusan dakwah mungkin membuatkan kita terlupa atau mulai terpedaya dengan unsur material yang menjadi ukuran pencapaian usaha dan amal. Pasti sahaja naluri manusiawi mempengaruhi manusia…

Ingin melihat manusia ramai mengikuti kita…Ingin melihat kemantapan dan kelancaran amal…Ingin melihat dan merasai keindahan hiasan dan ukiran di rumah yang dihuninya…sehingga terlupa tujuan asalnya…

Tarbiyyah sewajarnya tidak terlepas pandang keperluan membentuk keimanan apabila ia mulai menceburi lapangan pengurusan…

Tarbiyyah bukanlah semata-mata memberi bekalan ilmu dan kefahaman…ia perlu menyuluh jalan…membuat hati tenang…

Ketenangan hati adalah kunci kelangsungan amal dakwah…ia berpunca dari keyakinan dan keimanan, kejelasan fikrah dan manhaj, dan kemurnian ukhuwwah.

Tanpa kesemua unsur ini…dakwah nampak seperti amal organisasi…seperti persatuan biasa…

Iman adalah Bekalan

Melihat kepada hakikat manusia, hakikat kesatuan dan hakikat dakwah, kita sewajarnya kembali memusatkan persediaan kita kepada penyemaian Iman dan pembentukan Akhlak, sebelum melebarkannya kepada anasir kebendaan.

…وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى …

“…dan berbekallah kamu, maka sesungguhnya sebaik-baik bekal itu adalah takwa…” (Al-Baqarah 2: 197)

Dakwah adalah sentuhan hati, ia harus bermula dari hati, dipelihara dengan hati…

Dari hati,

Abu Muhammad

aku-adakah-itu-jawapannya.jpg

11/03/2008

Advertisements
Posted in: Hati