Ulangkaji Melukis dan Mewarna: Seni yang dilupakan…

Posted on January 28, 2008

8


MH 4000

Ini adalah satu subjek yang pelik lagi menarik di sebuah universiti yang sudah lama beroperasi di selatan Ireland… Saya bukanlah orang yang paling layak berbicara mengenai subjek ini kerana saya sendiri pun kadang-kadang bingung apakah yang cuba dicapai melalui subjek ini

Apa pun banyak juga pengajaran yang dapat saya ambil semasa mengikut kuliyah ini walaupun terpaksa menundukkan pandangan beberapa kali… terima kasih kepada pensyarah…

Tulisan kali ini akan membincangkan beberapa lukisan yang mengandungi beberapa teknik dan metode dalam menyampaikan mesej, atau dalam bahasa yang lebih menarik berinteraksi dengan pemerhati…agar si pemerhati akan dapat memahami lukisan itu dan akhirnya, mengambil pengajaran daripadanya…

Setelah lama mencari gambar yang sesuai untuk perbincangan, saya telah memilih 4 gambar yang sangat menarik. (maafkan saya, lupa pula pelukisnya atau tahun berapa dihasilkan)

Lukisan 1: Teknik Melukis dengan Menulis

bunga-0-copy.jpg

Teknik ini pernah digunakan oleh Kossuth, seorang ahli seni Amerika dalam hasil seninya bersama One and Three Chairs pada tahun 1965… tapi mungkin banyak bezanya, persamaan dari segi teknik ini mungkin terlalu sedikit, iaitu salah satu kerusi itu adalah definisinya…hmm, terlalu banyak kemungkinannya…

Teknik ini mungkin nampak mudah, hanya menulis apa yang mahu dilukis, jadi apabila pemerhati sudah melihatnya, pandai-pandailah mereka mahu memberi interpretasi…bunga…matahari…indah…taman…

Dengan bantuan definisi itu mungkin lebih mudah untuk mereka membayangkannya. (diambil dari Wikipedia)

Pelukis juga mungkin cuba memilih tulisan yang cantik atau sesuai agar pemerhati menjadi tertarik dan akhirnya melihat hasil seninya…cukuplah tulisan indah untuk menggambarkannya…

Lukisan 2: Melukis tapi Malas Mewarna

bunga-1-x-warna-copy.jpg

Teknik ini mungkin jarang digunakan oleh pelukis…mungkin juga tidak pernah…tetapi saya dapati teknik ini juga cukup berkesan untuk berinteraksi dengan pemerhati, mungkin lebih baik daripada teknik di atas dari segi kemampuan menggambarkan dan membayangkan…

Lakaran sedikit sebanyak memberi gambaran kasar lukisan itu… tulisan pula digunakan untuk menggantikan warna bagi memudahkan kerja (atau juga mungkin malas atau kesuntukan masa).

Teknik 3: Melukis dan Mewarna Objek penting sahaja…

bunga-2-x-warna-copy.jpg

Hmm…Teknik ini merupakan pendekatan yang sering digunakan oleh pelukis yang tidak tahu melukis latar belakang. Fokusnya adalah menghasilkan objek utama yang cantik tanpa perlu membuat sebarang latar.

Apa yang diharapkan adalah agar pemerhati dapat memikirkan daun-daun itu sendiri. Juga, bunga yang dilukis sempurna mungkin dirasanya sudah cukup menarik perhatian pemerhati…

Teknik 4: Lukisan Berwarna

bunga-3-warna-copy.jpg

Saya tidak mahu memberi komen apa-apa mengenai teknik ini, cukuplah yang terpapar menggambarkan apa yang dikehendaki oleh pelukis apa diinginkan…

Pengajaran

Baiklah kita beralih kepada perbincangan mengenai lukisan-lukisan (gambar sebenarnya) dari kaca mata dakwah…

Berdakwah adalah satu seni, seni yang terhasil daripada keperibadian seseorang. Dakwah bukanlah satu subjek ataupun objek yang boleh disimpan di dalam kocek…tetapi ia adalah sesuatu yang hidup dalam diri manusia…perwatakan dan penampilan seseorang itulah dakwahnya…pemikiran dan percakapan seseorang itulah dakwahnya…

Saya cuba ketengahkan kemungkinan berlaku beberapa pendekatan atau sikap kita dalam menyampaikan kalimah haq ini, dalam kita berinteraksi dengan pemerhati dan memahamkan mesej agung kita ini…

Teknik 1 mungkin digunakan oleh ramai orang. Mereka banyak membaca dan menelaah tetapi tidak mampu untuk melukis dan mewarna, cukuplah bagi mereka mengulang-ulang perkataan… mungkin juga mencuba untuk memperindahkan kata-kata, kerana tiada warna dan lukisan yang dapat diperlihatkan… seruan kata-kata yang diharapnya dapat memenuhi ruang imaginasi…lantas terbinalah sebuah impian…sempurna katanya, apabila anda menyebutnya sahaja.

Teknik 2 pula langkah yang lebih menarik… apabila seseorang malas nak mewarna, maka tinggallah lukisannya tanpa warna… seruannya mungkin diketahui rupa bentuknya tetapi tiada unsur kesempurnaan, tiada unsur keindahan… Pendakwah boleh bercakap mengenai ideologinya, fikrahnya…mungkin lebih besar lagi agenda kebangkitan ummah…tetapi malangnya tiada apa yang boleh menjadi ikutan pada dirinya, baik dari aspek akhlak dan perwatakan… indahnya Islam bukanlah semata-mata kerana sistemnya, tetapi ia membawa bersama keindahan budi pekerti dan kemurnian peribadi…

Teknik 3, apabila seseorang terlalu menumpukan kepada sesuatu dalam seruannya, apa yang diperlihatkan indah adalah apa yang ditumpukannya…barangkali, orang itu tidak mampu mewarnai latar peribadinya (baik akhlak dan perwatakan) atau latar pergaulan (hubungan berlainan jantina atau sesama jantina)…maka kecenderungan untuk membincangkan hal itu tiada lagi… indah bunga sekuntum…indah lagi bunga di taman…

Teknik 4 insyaAllah merupakan pendekatan dan sikap yang lebih realistik… Pendakwah sewajarnya memperlihatkan Islam, keindahan bunga dan tamannya… keindahan Islam dari setiap sudutnya…

Teknik 5: Menanam Bunga

Apa pun, saya lebih suka untuk menanam bunga… kerana itulah langkah yang paling terjamin untuk menghasilkan bunga yang segar bugar… bukan bunga plastik… lukisan itu sendiri bukan lah bunga…

Menyemai benih, menjaga pucuknya… membajai dan mengairi… berputik dan dipetik…

Akhirnya bunga itu dapatlah diperhati oleh pemerhati…

Akhirnya bunga itu dapatlah mengeluarkan haruman kepada manusia menghidunya…

Kerana itu, saya lebih suka menanam bunga…

Sekadar pandangan,

aku-adakah-itu-jawapannya.jpg

Abu Muhammad

Advertisements
Posted in: Idea