Kata Ganti Nama

Posted on January 14, 2008

6


Ada beberapa kata ganti nama yang sering digunakan oleh orang itu membuat penerangan mengenai sesuatu perkara atau juga menceritakan peristiwa seseorang. Kata ganti nama ini akan memudahkan pendengar dan juga pembaca untuk memahami penceritaan itu, akhirnya tenanglah hati si pendengar itu. Si pembaca terus gembira apabila otaknya tidak lagi tertanya kerana kata-kata ganti nama itu telah membuatkan penceritaan jadi sangat real.

Baiklah, untuk maklumat lanjut mengenai kata-kata ganti nama ini, saya menasihatkan teman-teman untuk merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka, kerana saya bukanlah orang yang terbaik untuk menjelaskannya.

InsyaAllah, kita boleh ulang kaji sedikit tentang kata ganti nama ini (Bahasa Melayu)…

Kata Ganti Nama Pertama: Saya, Aku, Kita, Kami, Beta, Hamba (mungkin sebahagian daripada orang menggunakan perkataan Ana, diambil dari Bahasa Arab dan dimelayukan supaya nampak lebih Islamik).

Kata ganti nama ini digunakan untuk merujuk kepada diri sendiri atau orang yang bercakap. Supaya si pendengar dapatlah mengenal pasti siapakah orang yang bercakap, dan bertanyakan soalan sekiranya terdapat kemusykilan.

Kata Ganti Nama Kedua: Anda, Awak, Kau (atau Engkau), Kalian, Tuanku (mungkin sebahagian daripada orang mengunakan perkataan Enti, Enti, Entum dan Entunna, juga diambil dari Bahasa Arab).

Kata ganti nama ini merujuk kepada orang yang mendengar atau yang sedang membaca. Sudah pasti si pendengar atau pembaca tadi akan sedar/terasa bahawa Aku tadi bercakap dengannya. Kalau kata ganti nama ini tidak digunakan, pastinya orang akan tidak mempedulikan kata-kata itu, atau menganggapnya untuk orang lain.

Kata Ganti Nama Ketiga: Dia, Ia, Beliau, Baginda dan Mereka (maaf, saya tiada maklumat mengenai sebahagian daripada orang dalam penggunaan kata ganti nama jenis ini).

Kata ganti nama ini selalu digunakan untuk orang tidak berada dalam dialog atau scene. Dia atau Ia menggambarkan orang yang sedang diceritakan halnya. Maknanya, kalau orang mahu bercerita mengenai seseorang (contohnya untuk mengumpat) bolehlah menggunakan perkataan-perkataan ini. Maafkan saya, bukan mahu menggalakkan mengumpat, tapi ini contoh yang paling mudah kita dapati. Mungkin kita selalu menggunakannya.

Hampir terlupa pula, ada satu lagi kata ganti nama yang semakin banyak digunakan oleh masyarakat Malaysia di dalam atau luar negeri. Mungkin satu hari nanti, Dewan Bahasa dan Pustaka akan mempertimbangkan kata-kata ganti nama ini dimasukkan di dalam silibus terbaru Bahasa Melayu.

Kata Ganti Nama Keempat: Adalah orang tu.

Kata ganti nama ini perlu digunakan dengan nada yang betul supaya apabila orang yang mendengarkan terasa seperti orang itu wujud walaupun orang itu mungkin tidak wujud. Mungkin susah nak menggambarkan bagaimana nadanya, tapi saya sarankan agar pendengar dapat memberikan perhatian kepada percakapan dan perbualan…

Kata ganti nama ini juga sering digunakan apabila soalan seperti, “Siapa nak buat benda ni?” atau “Siapa nak uruskan?” atau “Siapa nak bertanggung jawab?”. Menurut pemerhatian saya, kata ganti nama ini sangat komprehensif kerana dengan satu jawapan, terjawablah semua soalan-soalan yang diajukan.

Kemudiannya, si pendengar atau si pembaca pun terus berjalan tenang dan gembira sekali meninggalkan Aku, Kau dan Dia. Adalah orang tu telah berjaya memberi ketenteraman kepada Kita dan Mereka. Dunia seluruhnya pun turut berasa lega kerana si pendengar dan pembaca mampu memberikan jawapan yang sangat mudah difahami iaitu adalah orang tu.

Kadang-kadang pelik juga perkataan ini juga digunakan oleh sebahagian daripada orang untuk menjawab persoalan-persoalan itu tadi. Setakat ini saya masih tidak menjumpai sumber dari Bahasa Arab yang mungkin diambil oleh sebahagian daripada orang ini. Mungkin mereka pun telah menjadi seperti orang lain juga, kerana mengikut realiti semasa.

InsyaAllah, sesi ulangkaji kita pada kali ini akan memberikan manfaat kepada saya, anda dan juga mereka. Allahu A’lam.

aku-adakah-itu-jawapannya.jpg

Abu Muhammad,

Sebahagian Daripada Orang

Inilah Aku! Kamu Siapa?

Inilah Saya! Anda Siapa?

Inilah Kita! Kamu Siapa?

Inilah Ana! Enta Siapa?

Ini Adalah orang itu! Aku/Saya/Kita/Ana Siapa?

Advertisements
Posted in: Idea