Jalan Si Penglipur Lara

Posted on January 9, 2008

1


Allah pernah bercerita mengenai jalan-jalan…

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang-orang yang muhsin.”

(Surah Al Ankabut, ayat 69)

ist2_3507201_crossroad_success_or_failure.jpg

Begitulah janji Allah kepada hamba-hamba yang mahu mencari kebenaran dan berusaha menuju kepadaNya, iaitu pimpinan dan petunjuk yang akan menyuluh jalan kebenaran, menghilangkan kegelapan dan kesamaran.

Jalan-jalan Allah (Sabilullah) pastinya kelihatan begitu panjang dan jauh, manusia di permulaannya pasti terasa mengah walaupun belum memulakan langkahnya. Sebahagian lagi mulai rasa bingung kerana penghujungnya masih lagi tidak kelihatan. Ada pula yang masih menunggu penunjuk jalan yang telah lama dijanjikan akan muncul di saat akhir ini.

Itulah mungkin sikap sebahagian manusia melihat kepada jalan-jalan ini.

Tidak ada jaminan kepada manusia yang tidak berusaha bersungguh-sungguh, bahkan tidak ada gambaran yang kejayaan bagi manusia yang malas dan hanya berpeluk tubuh.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah dan berjuanglah pada jalan Allah supaya kamu beroleh kejayaan.”

(Surah Al Maidah, ayat 35)

Allah telah menyuruh manusia berusaha mencari jalan untuk mendekatkan diri kepadaNya dan bersungguh-sungguh dalam menelurusinya.

Kerana sudah pasti sesiapa yang tidak mencari, pasti tidak menjumpai.

Kerana sudah pasti sesiapa yang tidak berusaha, pasti tidak beroleh apa-apa.

Tetapi terdapat juga sebahagian manusia yang suka berbicara mengenai jalan-jalan ini, menceritakan keindahan jalan-jalan ini, membahaskan keutamaan jalan-jalan ini…malangnya tidak bersungguh-sungguh menelurusinya. Bicaranya manis, cerita yang menarik, hujahnya padat, tetapi usahanya seperti siput. Perumpamaan ini bukanlah yang terbaik.

Memang menjadi tabiat manusia, apabila ia menjumpai sesuatu yang baru dan bermakna, ia akan terasa seronok dan nyaman. Mulalah ia berbicara mengenai keindahan sesuatu itu, meluahkan perasaan yang membara dalam hatinya. Itu dan ini, kita dan mereka. Ia terus berbicara…

Seperti juga manusia yang telah menjumpai wasilah ini, ia mula berbicara mengenainya, berperasaan mengenainya… tetapi telahkah ia melangkah melaluinya…

Kenapa masih belum melalui petanda-petanda yang dikhabarkan dalam “kisah klasik untuk masa depan yang terpapar di permulaan jalan?

Kenapa di sekeliling “jalan-jalan ini” masih serupa dengan “jalan-jalan itu”?

Angan-angan kadang-kadang mengatasi realiti dan keadaan yang berlaku dalam sesuatu masa. Lantas manusia pun terasa gah dengan angan-angannya. Kerana seolah-seolah dia telah berada di dalam dunia angan-angannya, atau sekurang-kurangnya sedang menuju ke arahnya…tetapi segala-galanya adalah angan-angan.

Mulalah ia berbicara mengenai angan-angannya. Keindahan angan-angannya. Ketulenan angan-angannya. Keutamaan angan-angannya. Angan-angan adalah fantasi.

لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلا يَجِدْ لَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلا نَصِيرًا

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

“(balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.”

“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.”

(Surah An-Nisa’, ayat 123-124)

Keindahan angan-angan dan mimpi akan berakhir apabila sang bilal memanggilmu menuju kejayaan… meninggalkan apa yang disangka mu keindahan…

Berjalanlah menyahut panggilan Allah dan RasulNya dengan kesungguhanmu..

Allahu A’lam

Abu Muhammad

Advertisements
Posted in: Tazkiyatun Nafs