Faham: Pintu kepada Medan Amal

Posted on October 28, 2007

2


Faham (seperti dinyatakan di dalam Rukum Faham) merupakan perkara pertama yang menjadi asas pembinaan sebuah ummah. Ini juga merupakan titik permulaan kepada perkembangan Islam.

  أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى تَقْوَى مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan Masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.”

(Surah Taubah 9:109) 

Al-Ustaz Umar Tilmisani berkata: “Maka Risalah Ta’alim ini terbit sebagai contoh yang unik dihadkan dengan mendalam dan ditulis dengan penuh teliti tentang kefahaman, asas-asas tarbiyah dan prinsip-prinsip Harakah bagi Jamaah Ikhwan Muslimin di dalam tempoh dakwah dan perkembangan takwin seluruhnya. Kesemuanya itu di dalam penjelasan yang ringkas, padat dan teliti, tidak melebihi 20 halaman kertas.” 

Kefahaman adalah fondasi utama mendasari seluruh rukun perjuangan Islam.

  فَاعْلَمْ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ

Maka ketahuilah bahawasanya tiada ilah selain Allah…”

(Surah Muhammad 47:19) 

            Tuntutan untuk manusia memahami datang sebelum mereka mengenal sesuatu. Bahkan wahyu pertama menyeru Nabi s.a.w. untuk mendapatkan kefahaman terlebih dahulu:

 اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan.”

(Surah Al-‘Alaq 96:1)

Amal perlu didasarkan kepada ilmu untuk diterima oleh Allah s.w.t.:

 مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَليهُ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Barangsiapa melakukan suatu amalan yang tidak didasarkan kepada perintah kami, maka amalan itu tertolah.”

(Mutafaqun ‘Alaih) 

Allah telah memelihara din ini dengan memelihara sumbernya iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Tiada perubahan yang berlaku walaupun generasi demi generasi silih berganti:

 إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

“Sesungguhnya Kamilah yang telah menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang melindungnya.”

(Surah Al-Hijr 15 :9) 

            Rasulullah s.a.w. turut menyatakan yang kesucian Islam akan terpelihara dengan adanya mujaddid dan mujtahid yang mengembalikan umat ini kepada hakikat din:

 عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: إن الله يبعث إلى هذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها

Sesungguhnya Allah benar-benar akan mengutuskan di awal tiap-tiap abad orang yang memperbaharui untuk umat ini urusan dinnya.”

(Sahih oleh Abu Dawud, Hakim dan Baihaqi)

Pada setiap zaman, umat Islam akan menghadapi permasalahan dalam hal-hal tertentu. Namun begitu, pasti wujud sekelompok manusia akan cuba menyelesaikan permasalahan tersebut agar masyarakat kembali hakikat Islam dalam kefahaman dan amalan.            

Apabila timbul masalah bacaan Al-Quran lalu golongan qura dan hufazh berperanan untuk menyediakan kaedah-kaedah pembacaan melalui ilmu Al-Quran dan tajwid. Begitu juga dalam permasalahan dalam penafsiran Al-Quran yang memerlukan kepada usul-ut-tafsir untuk mengenepikan pendekatan yang berunsur hawa nafsu dan fanatisme. Ilmu Rijal wa Mustalahul-Hadith pula digariskan oleh ulama’ hadith untuk menyelesaikan masalah penyelewengan dan pemalsuan hadith.             

Usul fiqh diketengahkan oleh mujtahid untuk memberi panduan dalam istimbath hukum daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Wujud juga pada satu masa dahulu permasalahan dalam ilmu kalam dan falsafah yang menyeleweng, lalu hadir ulama’ yang mengembalikan keyakinan yang sebenar dan membataskannya pada nas-nas Islam yang perlu menjadi dasar pemikiran. 

Usul 20 yang diketengahkan oleh Imam Hasan Al-Bana merupakan satu usaha mengembalikan umat Islam kepada satu kefahaman yang jelas dan benar. Beliau menghadapi keadaan masyarakat yang bergelumang dengan penyelewengan aqidah, ibadah dan akhlak. Pencemaran fikrah telah berlaku sepanjang zaman penjajahan Barat dan ditambah lagi dengan kekeliruan yang timbul di kalangan umat yang jahil. Imam Hasan Al-Bana menjelaskan aspek teori dan praktikal dalam kefahaman Islam. 

Muhammad Khatib berkata: Kalaulah kefahaman tidak menjadi salah satu dari rukun bai’ah, nescaya akan timbullah di kalangan Ikhwan Muslimin madrasah-madrasah fikriah yang berbilang-bilang, dan ia tidak akan menjadi jamaah yang satu. Tetapi sekarang setiap akh yang ‘amil (bekerja) dianggap sebagai pengawal yang amanah yang menjaga kefahaman ini dari sebarang perubahan atau penyelewengan. Kerana memenuhi bai’ahnya dengan Allah swt, beliau menjaga batas-batas Allah dalam setiap pergerakan, perkataan, tulisannya dan lain-lain lagi.” 

Kata Al-Ustaz Said Hawa: “Al-Ustaz Hassan Al-Bannã rahimahullah telah pun meletakkan Rukun Kefahaman di dalam Usul ‘Isyrin sebagai titik pertemuan yang dengannya dapat disatukan seluruh orang-orang Islam khususnya dari segi kefahaman terhadap Islam itu sendiri.” 

Seluruh umat perlu dikembalikan kepada satu kefahaman Islam yang sahih, lengkap dan menyeluruh. Islam perlu dikenali dan difahami sebagai din yang satu tanpa perlu memecahkannya kepada juzu’-juzu’ yang tertentu atau hanya memberi tumpuan kepada perkara  furu’. Sepertimana dalam kisah sekumpulan orang buta yang cuba memberi gambaran seekor gajah. Mereka akan hanya merumitkan kefahaman dan mengelirukan orang lain.

Advertisements
Posted in: Fikrah